Pages

Sunday, 23 June 2013

Makanan yang halal dan bersih sucikan hati

Keperluan nutrisi perlu diambil secara sederhana elak kesan negatif

Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan serta amal ibadah umat Islam. Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika bersih makanan dipilih maka bersihlah hati. Jika pilihan makanan terdiri daripada sumber yang kotor dan rosak, maka hati akan terbentuk sebaliknya. Maka dengan itu, Islam menggesa penganutnya memilih makanan yang baik, halal lagi suci. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi mentafsirkan halal sebagai sesuatu yang diharuskan yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syarak untuk melakukannya. Baik pula membawa maksud sesuatu yang bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak.

Larangan makan daripada sumber haram

Oleh itu, makanan halal lagi baik adalah makanan yang bersih zatnya, suci perolehannya serta bebas daripada sebarang kemudaratan. Islam sangat melarang keras umatnya memilih makanan daripada sumber haram. Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa kepada kemudaratan yang nyata. Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim)

Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik dianugerahkan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kesan negatif jika makan berlebihan

Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kesan negatif. Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti sebelum kenyang.

Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad)

Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar. Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya. Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah dan mengabdikan diri kepada Allah.
 
sumber:berita harian

Thursday, 6 June 2013

Mukjizat membaca Al-Quran

Menenangkan jiwa dan dapat mengawal marahKehidupan di dunia yang penuh pancaroba kini memaksa manusia supaya lebih bersabar dalam menjalani kehidupan seharian. Kadangkala kebahagiaan dan penderitaan datang bersilih ganti. Perkara sebeginilah yang menguji daya tahan kekuatan seseorang Muslim sebenarnya sama ada mampu mengawal emosi ataupun sebaliknya. Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan yang dihadapi. Kebiasaannya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi. Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.

Baca al-Quran merawat emosi Masyarakat Islam seharusnya sedar ubat paling mujarab untuk merawat emosi di kala ditimpa kesusahan adalah dengan membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan dan sering dilupakan kecuali apabila tiba bulan Ramadan saja. Kitab suci teragung ini mampu memperkukuh kekuatan dalaman dan memberikan ketenangan jiwa dalam diri manusia selain menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut. Muslim mengetahui dengan membaca al-Quran akan mendapat pahala, namun tidak ramai yang tahu membacanya adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’ ayat 82). Ayat ini menjelaskan sesungguhnya orang yang mengamalkan ayat suci al-Quran akan mendapat rahmat melaluinya.

Firman Allah lagi bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57). Ini jelas menunjukkan masalah jiwa dan emosi boleh dirawat melalui amalan pembacaan al-Quran.

Ubat penyakit jiwa Amalan ini diakui dalam mengubati penyakit jiwa atau psikoterapi. Segala gangguan jiwa seperti kemurungan, fikiran berserabut dan cepat panik dapat diatasi dengan membaca al-Quran. Lebih lama kita membacanya, jiwa menjadi semakin aman dan tenteram. Inilah rahmat kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang rajin berusaha untuk mendapatkannya. Oleh itu, jadikan membaca al-Quran sebagai gaya hidup dan jangan membacanya ketika ditimpa masalah saja.

Membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati. Ingatlah Allah pada waktu lapang, tentu Allah akan ingat dan bantu kita ketika susah. Allah membekalkan mukjizat teragung al-Quran sebagai rahmat dan mereka yang membaca atau mendengar bacaan ayat suci itu akan diberikan Allah kekuatan dalaman. Ayat al-Quran yang boleh dijadikan sebagai penyembuh jiwa ialah surah Yasin. Syeikh Mohd Alawi Al-Malik mengatakan, surah Yasin banyak kelebihannya kerana menurut Rasulullah, surah Yasin adalah hati al-Quran. Sahabat Rasulullah, Abu Hurairah ada berpesan: “Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran dan akan banyaklah kebajikan dalam rumah itu dan akan datanglah malaikat ke rumah itu dan akan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya, rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran, akan mendatangkan kesempitan kepada penghuninya. Di samping itu, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.”

Emosi marah sebagai contoh dapat dikawal dengan melakukan pergerakan fizikal kerana ia mampu melenturkan dan meredakan ketegangan saraf otak.

Mengambil air wuduk dapat mengatasi marah Sabda Rasulullah, “Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika kamu masih marah, pada hal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wuduk untuk bersuci dan lakukan solat sunat dua rakaat.” Sesungguhnya air wuduk mampu memadamkan hati yang sedang menyala apinya.

Amalan pembacaan al-Quran seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana ternyata ia mampu merawat jiwa dan emosi manusia tatkala ditimpa dugaan dan kesusahan kelak. Namun, kita perlu sentiasa ingat ujian yang diberikan kepada kita adalah untuk menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah supaya kita tidak lalai dalam beribadat kepadanya.

Tuesday, 4 June 2013

Pengurusan Kewangan Berhemat

Dalam kehidupan hari ini, adakah wang boleh membeli segala-galanya. Adakah wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya. Dalam hal ini, sukar untuk membayangkan kehidupan segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mencari rezeki, tetapi sudah biasa berdepan dengan situasi ketiadaan wang. Namun, hakikatnya keadaan ‘terputus wang’ juga turut berlaku kepada mereka yang mempunyai kerjaya. Keadaan ini berpunca kegagalan mengurus kewangan hingga menyebabkan mereka berhutang atau perbelanjaan melebihi pendapatan.

Hutang adalah jalan penyelesaian sementara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, hutang boleh menyebabkan hidup menjadi lebih buruk seperti bankrap. Justeru, Islam menganjurkan umatnya mengatasi masalah menerusi pengurusan kewangan secara berhemat dan mengelak sikap boros. Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana terutama dalam aspek perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan seharian. Rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan dengan sebaik. Membeli sesuatu yang tidak diperlukan tanda sikap berlebih-lebihan. Sikap itu dicela dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141)

Islam turut menggalakkan umatnya menabung dan berjimat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Simpan sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari). Perbuatan berbelanja melebihi keupayaan kewangan melambangkan sikap lupa diri. Dalam hal ini, umat Islam perlu menyedari harta dimiliki anugerah daripada Allah SWT untuk dibelanjakan untuk tujuan kebaikan.

Belanja boros

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas.” (Surah al-Israk, ayat 26). Jika tips yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunah ini diabaikan, maka ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan umat kini.