Pages

Monday, 3 February 2014

Mukjizat Air Zam Zam

TIDAK ramai orang mengetahui bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter air pada musim haji dan tidak pernah kering walaupun sekali. Pernah seorang ilmuwan diperintahkan oleh Raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar daripada seorang doktor dari Mesir mengenai air zam-zam. Berapa juta liter air zam-zam yang diambil setiap kali musim haji? Jika jemaah haji yang datang dari seluruh dunia pada setiap musim haji berjumlah lebih kurang dua juta orang. Semua jemaah diberi lima liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika dua juta orang membawa pulang masing-masing lima liter air zam-zam ke negaranya, ini sudah menjadi 10 juta liter. Di samping itu sepanjang berada di Mekah, katakan kebanyakan jemaah haji tinggal selama 25 hari di sana dan setiap orang menghabiskan satu liter sehari. Maka jumlahnya sudah mencapai 50 juta liter. 

Pada 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada media di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum. Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu adalah di bawah garis permukaan laut, air zam-zam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zam-zam. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar contoh air zam-zam ke makmal-makmal di Eropah untuk dilakukan uji kaji. Tariq Hussain seorang ahli kimia yang bekerja di Institut Peresapan Air Laut untuk air minuman di Jeddah ditugaskan melakukan penyelidikan. Pada awal memulakan tugasnya, Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya. Ketika sampai dalam telaga zam-zam, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran "kolam" telaga itu hanya 18x14 kaki sahaja (kira-kira 5x4 meter). Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil itu boleh mengeluarkan jutaan gelen air setiap kali musim haji dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang silam semenjak zaman Nabi Ibrahim AS. 

Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11 hingga 18 liter air perdetik dengan demikian setiap minit sejumlah 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang menakjubkan. Tariq mula mengukur kedalaman air telaga zam-zam dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya lima kaki lapan inci. Kemudian dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apa-apa pun. Dia berfikir mungkin air telaga itu diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar. Jika begitu keadaannya maka dia boleh melihat turun naiknya permukaan air secara tiba-tiba. Tetapi dugaannya meleset, Tariq tidak menemui gerakan air yang mencurigakan dan alat yang dapat mendatangkan air dalam jumlah yang besar. Seterusnya dia meminta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam di tempatnya sambil mengamati sekelilingnya. Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil mana pun. Setelah melakukan proses tersebut dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: "Alhamdulillah, saya temuinya! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku dan air itu keluar dari dasar telaga." Lalu pembantu Tariq diminta berputar mengelilingi telaga ketika tiba masa penghisapan air oleh paip air untuk keluar. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum dipam.

Aliran air yang keluar sama besarnya di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar. Sementara itu, hasil penyelidikan contoh air zam-zam di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan air zam-zam mengandungi zat fluorida yang berkesan membunuh kuman seperti sudah mengandungi ubat. Perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah kuantiti kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua mineral itu lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan jemaah yang keletihan. Keistimewaan lain, komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil dan sama dari sejak terbentuknya telaga itu. "Rasanya" selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun. Nabi SAW menjelaskan: "Sesungguhnya air zam-zam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi." Nabi SAW menambahkan: "Air zam-zam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail." (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas). Rasulullah SAW pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas daripada kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan air zam-zam itu digunakan Rasulullah untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya. Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah iaitu.

- Kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan  rasa haus dan penyembuhan.
- Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
- Yang menakjubkan lagi, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam. Air zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
- Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga zam-zam tetap berair. Air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.Beberapa ulama fikah mencadangkan agar jemaah haji dan umrah membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam dapat menjadi sebagai ubat untuk penyembuhan. Ini terbukti jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.


sumber: utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 26 August 2013

Strok dengan hijamah dan akupuntur

Penyakit kardio serang tanpa mengira usia.

Mungkin ramai tidak terlintas dalam fikiran, strok boleh menyerang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja remaja. Malah ramai tidak mengambil kisah dan sering menganggap, penyakit itu hanya dideritai orang tua atau individu berusia yang tidak aktif serta obes. Kini, masalah strok tidak hanya mensasarkan mereka berusia 50 tahun ke atas tetapi turut dihidapi golongan muda. Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor." Dr Mak Choon Soon, Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur. Kadar kematian disebabkan strok turut dilaporkan akan meningkat hampir dua kali ganda, menjelang 2020 dan ia menjadi penyakit keempat tertinggi di negara ini.

Di Amerika Syarikat pula, mendapati ada kesan peningkatan strok kalangan golongan muda. Laporan menunjukkan kanak-kanak seawal usia 8 tahun diberikan ubat statin jika mereka gemuk. Penggunaan ubat-ubatan statin merendahkan kolesterol dalam badan dan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko lebih besar kepada strok.

Klasifikasi strok

Justeru, impak angin ahmar atau strok seharusnya digeruni. Ia berlaku disebabkan saluran darah membawa zat makanan (nutrien), oksigen ke otak tersumbat dan pecah, seterusnya menyebabkan anggota badan dikawal sel saraf tidak dapat berfungsi. Bagaimanapun, disebabkan kurang fahaman, ada juga menyangkakan penyakit itu berpunca akibat serangan jantung.

Dr Mak Choon Soon, berkata penyakit itu juga boleh berlaku akibat tekanan terlampau tinggi pada bahagian otak seterusnya menyebabkan salur darah dalam otak pecah. Penyakit ini dikategorikan kepada dua jenis iaitu pembuluh darah (trombus) tersumbat mengakibatkan oksigen dan darah terganggu serta adanya pembuluh darah pecah. Biasanya strok pendarahan berlaku secara tiba-tiba tanpa isyarat. Ia lebih berbahaya berbanding strok bukan pendarahan kerana serangannya boleh menyebabkan ajal manakala peluang pemulihan sepenuhnya tipis,” katanya.

Gejala serangan

Serangan penyakit strok itu, kata Dr Mak, tidak disedari dan mungkin dianggap sakit biasa. Pening, sakit kepala, sesak nafas, penglihatan kabur dan hidung berdarah antara gejala hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Fungsi bahagian berlainan dalam badan dikawal oleh bahagian berbeza dalam otak. Gejala berbeza bergantung kepada bahagian otak terjejas dan pada saiz kerosakan. Gejala yang timbul biasanya termasuk satu atau lebih. Antara gejala strok ialah ia terjadi secara tiba-tiba, pesakit terasa kebas sebelah badan sama ada kaki atau tangan, butir percakapan tidak difahami dan sakit kepala teruk atau pening secara mendadak. Pesakit juga mungkin mengalami muntah dan tidak seimbang atau stabil ketika berjalan dan nampak keliru. Ia dilabel pembunuh senyap kerana boleh mengakibatkan beberapa komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan strok. Kecederaan saraf otak serius boleh menjejaskan neurologi (sistem saraf), pergerakan, pertuturan, watak, penglihatan, pendengaran mahupun memori. ia juga mengakibatkan pesakitnya mengalami masalah dimentia iaitu kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat kecederaan atau penyakit pada otak.

Risiko boleh dielakkan

Kehidupan remaja yang tidak sihat berkecenderungan mengundang penyakit berbahaya ini dan menyerang secara senyap termasuk menerusi jangkitan virus. Oleh itu amalan pola sihat amat penting bagi mengelakkan serangan maut itu terutamanya dalam pengambilan pemakanan seimbang. Melakukan al hijamah, akupuntur, bersenam boleh mengembalikan kesihatan. Jika mempunyai diabetes, rawatan untuk menyimpan gula dalam darah anda dengan seberapa normal yang mungkin adalah penting. Pastikan tekanan darah diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun. Jika tinggi, ia boleh dirawat. Tekanan darah tinggi biasanya tidak menyebabkan gejala, tetapi boleh merosakkan arteri.

Jangan tangguh

Katanya, individu diserang strok perlu dihantar ke bahagian kecemasan selewat-lewatnya empat jam jika ada tanda-tanda supaya doktor boleh membuat pemeriksaan. Satu daripada perkara penting pastinya tahap kesedaran pesakit untuk elak keadaan bertambah parah. "Jika pesakit diserang strok dan jatuh koma peluang mungkin sukar. Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor.

“Doktor biasanya boleh mendiagnosis strok daripada gejala yang biasa dialami pesakit. Ujian biasa dilakukan termasuk imbasan otak. Ini bagi menentukan jenis strok dan menentukan menyebabkan strok atau mungkin menyerupai gejala sama. Remaja yang diserang juga akan menjalani proses seperti ujian darah untuk memeriksa paras gula di dalam darah dan kolesterol serta ujian X-ray pada dada dan ECG untuk mengesan jantung atau paru-paru,” katanya.

Faktor penyebab strok:

* Trauma.

* Penyakit salur darah dalam otak:
a) Salur darah boleh rosak (aneurysm). Seperti belon, ia mengembang dan pecah.
b) Vasculitis (jangkitan pada salur darah).
c) Kongenital (sejak lahir).

* Masalah Arterio-Venous Malformation (AVM) iaitu gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena.

* Pesakit mengambil ubat pencair darah seperti pesakit jantung/ menagih kokain.

* Amylodysis - penyakit golongan yang biasanya berusia 75 tahun ke atas disebabkan salur darah mudah pecah.

* Kanser dalam otak menyebabkan pendarahan.

Masalah yang mungkin berlaku:

* Masalah dengan keseimbangan dan penyelarasan.

* Masalah untuk menelan makanan. Dalam kes tertentu, ia boleh membahayakan kerana makanan mungkin memasuki hujung salur udara dan tidak turun ke tekak apabila anda makan.

* Kesukaran dengan proses mental. Sebagai contoh, mengalami kesukaran dalam pembelajaran, tumpuan mahupun mengingat.

* Emosi terjejas. Berikutan strok, sesetengah orang mungkin menangis atau ketawa pada masa tertentu tanpa alasan jelas.

Jenis ujian yang diperlukan:

Tahap sedar pesakit akan menentukan rawatan susulan yang dijalankan selain usia dan jenis penyakit lain mungkin dihadapi pesakit. Ada dua jenis rawatan iaitu rawatan perubatan dan rawatan pembedahan.

* Untuk pesakit muda dengan tahap kesedaran kurang dan saiz pendarahan besar, pembedahan mungkin perlu dilakukan selain merawat punca.

* Pembedahan biasanya dilakukan untuk membuang darah beku dan mengurangkan tekanan di dalam otak.

* Serangan strok juga boleh dirawat secara perubatan seperti menjalani fisioterapi tapi mengambil masa lama untuk pulih kira-kira setahun.

* Bagaimanapun, pesakit tidak pulih 100 peratus kerana ketika berlaku pendarahan, bahagian otak terbabit mengalami kerosakan. Walaupun pembedahan dilakukan, bahagian mengandungi darah beku itu sudah terjejas.

* Tidak seperti organ lain, otak tidak mempunyai kemampuan sembuh sendiri. Terapi rehabilitasi penting bagi memulihkan pesakit yang mengalami strok.

sumber: Berita Harian

Thursday, 18 July 2013

Mengapa Herba tidak berkesan?



Mungkin ada sesetengah daripada kita yang mengambil herba bertanyakan soalan ini samaada dalam diri kepada teman dan keluarga. Berjumpalah dengan herbalis anda pasti anda akan dapat jawapan bagi persoalan anda. Bagi anda yang baru mengambil herba sebaik-baiknya anda berjumpa dengan herbalis untuk mendapatkan pandangan dan nasihat kaedah pengambilan herba yang betul supaya herba yang diambil berkesan malah tidak memudaratkan diri anda. Seperti juga kita berjumpa doktor, untuk mengetahui kaedah pengambilan ubat dalam kuantiti yang betul dan masa yang tepat serta mengikut peraturannya.

Seorang herbalis terlebih dahulu perlu tahu tentang karakter pesakit semasa mencadangkan ubat yang diambil supaya proses penyembuhan dan konsultasi berlaku dengan baik. Langkah ini penting kerana dari segi psikologinya setiap manusia akan memberikan respon yang baik jika dia merasa selesa dengan perawatnya.

SEBAB HERBA TIDAK BERKESAN

MASALAH “MIND SET”
Percaya atau tidak kita sudah diprogramkan untuk mempercayai keajaiban ubatan kimia yang memberikan kesembuhan yang cepat. Ubatan herba tidak lagi mendapat tempat setelah kehebatan ubatan kimia yang sinonim dengan panggilan ubatan moden dan herba dikenali sebagai ubatan tradisional telah membantu melonjakkan lagi kepercayaan terhadap ubatan ini. Jadi masih ramai diantara kita yang mempunyai perasaan ragu-ragu dan seolah-oleh terpaksa apabila disyorkan ubatan ini. Maka secara automatik ubat herba yang diambil tidak berkesan apabila otak kita telah setkan bahawa ubat herba ini tidak dapat mengubati penyakit kita.

TEKANAN ATAU STRESS
Tahukah anda jika anda stress atau tertekan, anda telah memusnahkan vitamin C yang ada dalam badan anda,kerana itulah orang yang stress akan kelihatan cepat tua. Bukan itu sahaja herba tidak dapat bertindak balas dengan baik kerana wujudnya tekanan-tekanan dalam diri. Kelenjar Adrinalin dalam tubuh akan mengeluarkan hormon kortisol yang akan meningkatkan tekanan darah dan kadar gula dalam darah dan menurunkan tindak balas imuniti(pertahanan)badan. Akibatnya berlaku malabsorption (tiada penyerapan) terhadap nutrien yang masuk ke dalam tubuh. Jadi sebarang herba yang masuk tidak dapat bertindak balas untuk memberikan manafaat kepada kita.

PENGAMBILAN AIR YANG TIDAK MENCUKUPI
Herba gagal berfungsi tanpa air yang mencukupi dalam badan. Air seperti pelincir kepada badan kita. Ramai juga beranggapan pengambilan air mereka mencukupi kerana telah meminum air kopi radix, air kordial Rossele atau apa-apa air yang lain dalam kuantiti yang banyak sepanjang hari, sedangkan tubuh kita lebih banyak memerlukan air putih untuk membantu pergerakan nutrien dalam badan, pengawalan suhu badan, pencernaan dan semua aktiviti badan.

Kenyataan ini bukan bermakna anda perlu mengurangkan pengambilan air kegemaran anda, tetapi anda perlu tahu bahawa air berwarna atau bercampur bahan lain seperti kopi atau apa saja akan diproses seperti makanan pepejal yang kita ambil contohnya nasi, mee, roti dan sebagainya. Pengambil herba perlu mengambil sekurang-kurangnya 2 liter untuk perempuan dan 2.5 liter untuk lelaki dalam sehari. Bagi pengambilan herba diuretic (mengaktifkan buah pinggang untuk pengeluaran air kencing) keperluan air putih sangat perlu dititikberatkan. Keperluan ini semakin penting dengan berlaku peningkatan suhu dunia yang semakin panas.

PENGAMBILAN YANG TIDAK BERTERUSAN
Seperti yang anda semua sedia maklum, herba bertindak balas agak lambat berbanding ubatan kimia. Proses pemulihan juga berlaku dengan lambat dan berperingkat. Kerana setiap penyakit yang berlaku dalam badan kita juga terbentuk daripada satu proses yang lama contohnya sakit asthma, penyakit ini bermula dengan peradangan paru-paru hingga menghasilkan mucus yang banyak, pengecutan brokiol akhirnya mengganggu pernafasan hingga mencetuskan penyakit ini. Ia terbentuk dalam satu tempoh masa yang lama, jadi secara logiknya sistem penyembuhan juga mengambil masa yang lama. Inilah keistimewaan herba yang akan memulihkan hingga kepada punca penyakit bukan kepada simptomnya. Jadi, kesabaran dan istiqamah adalah sangat perlu bagi pengambil herba.

PENGIKATAN DAN PEMBUANGAN
Ini merujuk kepada kaedah pengambilan herba yang salah ataupun pengambilan herba bersama ubat-ubatan lain boleh membentuk ikatan kimia yang tidak dapat diuraikan dan terus disingkirkan oleh tubuh. Perlu diingat bahawa herba mempunyai dinding solulose yang menyimpan khasiat herba, jadi untuk menguraikannya perlu melalui proses sinergi, rebusan dan lain-lain. Di dalam Perubatan Jawi kita memberikan teknik-teknik untuk untuk menggunakan herba dengan lebih berkesan, kerana itulah sangat penting bagi pengamal herba untuk mengetahui cara pengunaan herba yang betul. Contohnya, pengambilan shark cartilage tidak boleh diambil dengan herba yang lain kerana herba ini bersifat fat bonding dan akan menyingkirkan racun yang masuk ke badan termasuk herba yang masuk bersama.

DOS YANG TIDAK MENCUKUPI
Dos yang mencukupi akan memberikan isyarat kepada badan seperti peningkatan suhu badan dan sengal-sengal tubuh. Ini menunjukkan tindakbalas herba yang mencukupi dengan keperluan tubuh. Jika dos yang diambil tidak mencukupi ia tidak akan memberi kesan kepada tubuh. Ukuran dos untuk pengambilan herba adalah berdasarkan berat badan 10kg bersamaan 1 gram herba (mengikut herba yang diambil).

MEROKOK
Merokok adalah penghalang kepada keberkesanan herba di dalam badan anda. Herba tidak dapat memulihkan diri pesakit andai racun terus ‘dimasukkan’ke dalam badan. Bayangkan asap rokok sahaja mengandungi lebih 4000 jenis bahan kimia yang sangat merbahaya baik kepada perokok,mahupun penghidu(perokok pasif).


sumber: jawi herbs shop

Pentingnya minum air yang mencukupi

Air sangat penting dalam kehidupan manusia dan hampir 75 peratus air berada dalam otak manusia. Minum air dengan kerap baik untuk membuang segala toksin. Masih ramai yang tidak faham istilah minum air sebanyak lapan gelas sehari dengan lebih kerap. Jika pengambilan air tidak dilakukan secara berterusan kerana badan dan otak menjadi lemah. Ini kerana mereka yang minum air akan mendapati diri mereka bertenaga. Jadikan minum air sebagai hobi. Pastikan minum air sebagai aktiviti harian walaupun diakui ia menyebabkan anda begitu kerap membuang air.

1) Jangan minum lapan gelas air sekali gus dan tidak mengulanginya sepanjang hari.

2) Kuantiti minum air bergantung kepada cuaca dan aktiviti anda.

3) Lebih banyak anda kehilangan air sepatutnya lebih banyak yang perlu diminum.

4) Jika minum terlalu banyak tanpa membuang air dibimbangi mengalami keracunan air atau situasi elektrolit tidak seimbang.

5) Air adalah penahan selera secara semula jadi.

6) Ingat, kekurangan air boleh membawa kepada makan berlebihan kerana otak tidak dapat membezakan antara lapar dan dahaga.

Gejala kekurangan air dalam tubuh

Letih dan kurang tumpuan terutama - bagi tubuh yang mengandungi toksin kerana kekurangan air untuk mengeluarkannya.

Pening - Salah satu fungsi air adalah membuang toksin dari tubuh manakala otak manusia mengandungi 75 peratus air. Oleh itu, walaupun mengalami kekurangan air sedikit, ia berpotensi menyebabkan pening.

Sembelit - Air mampu melembutkan sesuatu yang pejal. Oleh itu najis yang keras boleh dilawaskan apabila air diminum secukupnya.

Air kencing kotor - Hampir 180 liter air dikitar semula oleh buah pinggang setiap hari kerana ia adalah penapis bahan buangan dari darah. Tanpa air, pengeluaran air kencing akan berkurangan menyebabkan bahan buangan menjadi lebih pekat menghasilkan kencing kotor.

Mulut berbau - Cecair tidak mencukupi di dalam mulut untuk membersihkan sisa makanan berisiko membiarkan bakteria di dalam tekak dan mulut menyebabkan mulut berbau busuk.

Mulut kering - Situasi ini kerap berlaku apabila kurang minum kerana air liur adalah pelincir mulut. Penyahhidratan hanya mengurangkan jumlah air liur.

Sunday, 23 June 2013

Makanan yang halal dan bersih sucikan hati

Keperluan nutrisi perlu diambil secara sederhana elak kesan negatif

Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan serta amal ibadah umat Islam. Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika bersih makanan dipilih maka bersihlah hati. Jika pilihan makanan terdiri daripada sumber yang kotor dan rosak, maka hati akan terbentuk sebaliknya. Maka dengan itu, Islam menggesa penganutnya memilih makanan yang baik, halal lagi suci. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi mentafsirkan halal sebagai sesuatu yang diharuskan yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syarak untuk melakukannya. Baik pula membawa maksud sesuatu yang bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak.

Larangan makan daripada sumber haram

Oleh itu, makanan halal lagi baik adalah makanan yang bersih zatnya, suci perolehannya serta bebas daripada sebarang kemudaratan. Islam sangat melarang keras umatnya memilih makanan daripada sumber haram. Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa kepada kemudaratan yang nyata. Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim)

Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik dianugerahkan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kesan negatif jika makan berlebihan

Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kesan negatif. Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti sebelum kenyang.

Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad)

Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar. Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya. Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah dan mengabdikan diri kepada Allah.
 
sumber:berita harian

Thursday, 6 June 2013

Mukjizat membaca Al-Quran

Menenangkan jiwa dan dapat mengawal marahKehidupan di dunia yang penuh pancaroba kini memaksa manusia supaya lebih bersabar dalam menjalani kehidupan seharian. Kadangkala kebahagiaan dan penderitaan datang bersilih ganti. Perkara sebeginilah yang menguji daya tahan kekuatan seseorang Muslim sebenarnya sama ada mampu mengawal emosi ataupun sebaliknya. Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan yang dihadapi. Kebiasaannya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi. Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.

Baca al-Quran merawat emosi Masyarakat Islam seharusnya sedar ubat paling mujarab untuk merawat emosi di kala ditimpa kesusahan adalah dengan membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan dan sering dilupakan kecuali apabila tiba bulan Ramadan saja. Kitab suci teragung ini mampu memperkukuh kekuatan dalaman dan memberikan ketenangan jiwa dalam diri manusia selain menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut. Muslim mengetahui dengan membaca al-Quran akan mendapat pahala, namun tidak ramai yang tahu membacanya adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’ ayat 82). Ayat ini menjelaskan sesungguhnya orang yang mengamalkan ayat suci al-Quran akan mendapat rahmat melaluinya.

Firman Allah lagi bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57). Ini jelas menunjukkan masalah jiwa dan emosi boleh dirawat melalui amalan pembacaan al-Quran.

Ubat penyakit jiwa Amalan ini diakui dalam mengubati penyakit jiwa atau psikoterapi. Segala gangguan jiwa seperti kemurungan, fikiran berserabut dan cepat panik dapat diatasi dengan membaca al-Quran. Lebih lama kita membacanya, jiwa menjadi semakin aman dan tenteram. Inilah rahmat kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang rajin berusaha untuk mendapatkannya. Oleh itu, jadikan membaca al-Quran sebagai gaya hidup dan jangan membacanya ketika ditimpa masalah saja.

Membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati. Ingatlah Allah pada waktu lapang, tentu Allah akan ingat dan bantu kita ketika susah. Allah membekalkan mukjizat teragung al-Quran sebagai rahmat dan mereka yang membaca atau mendengar bacaan ayat suci itu akan diberikan Allah kekuatan dalaman. Ayat al-Quran yang boleh dijadikan sebagai penyembuh jiwa ialah surah Yasin. Syeikh Mohd Alawi Al-Malik mengatakan, surah Yasin banyak kelebihannya kerana menurut Rasulullah, surah Yasin adalah hati al-Quran. Sahabat Rasulullah, Abu Hurairah ada berpesan: “Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran dan akan banyaklah kebajikan dalam rumah itu dan akan datanglah malaikat ke rumah itu dan akan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya, rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran, akan mendatangkan kesempitan kepada penghuninya. Di samping itu, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.”

Emosi marah sebagai contoh dapat dikawal dengan melakukan pergerakan fizikal kerana ia mampu melenturkan dan meredakan ketegangan saraf otak.

Mengambil air wuduk dapat mengatasi marah Sabda Rasulullah, “Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika kamu masih marah, pada hal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wuduk untuk bersuci dan lakukan solat sunat dua rakaat.” Sesungguhnya air wuduk mampu memadamkan hati yang sedang menyala apinya.

Amalan pembacaan al-Quran seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana ternyata ia mampu merawat jiwa dan emosi manusia tatkala ditimpa dugaan dan kesusahan kelak. Namun, kita perlu sentiasa ingat ujian yang diberikan kepada kita adalah untuk menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah supaya kita tidak lalai dalam beribadat kepadanya.

Tuesday, 4 June 2013

Pengurusan Kewangan Berhemat

Dalam kehidupan hari ini, adakah wang boleh membeli segala-galanya. Adakah wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya. Dalam hal ini, sukar untuk membayangkan kehidupan segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mencari rezeki, tetapi sudah biasa berdepan dengan situasi ketiadaan wang. Namun, hakikatnya keadaan ‘terputus wang’ juga turut berlaku kepada mereka yang mempunyai kerjaya. Keadaan ini berpunca kegagalan mengurus kewangan hingga menyebabkan mereka berhutang atau perbelanjaan melebihi pendapatan.

Hutang adalah jalan penyelesaian sementara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, hutang boleh menyebabkan hidup menjadi lebih buruk seperti bankrap. Justeru, Islam menganjurkan umatnya mengatasi masalah menerusi pengurusan kewangan secara berhemat dan mengelak sikap boros. Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana terutama dalam aspek perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan seharian. Rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan dengan sebaik. Membeli sesuatu yang tidak diperlukan tanda sikap berlebih-lebihan. Sikap itu dicela dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141)

Islam turut menggalakkan umatnya menabung dan berjimat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Simpan sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari). Perbuatan berbelanja melebihi keupayaan kewangan melambangkan sikap lupa diri. Dalam hal ini, umat Islam perlu menyedari harta dimiliki anugerah daripada Allah SWT untuk dibelanjakan untuk tujuan kebaikan.

Belanja boros

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas.” (Surah al-Israk, ayat 26). Jika tips yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunah ini diabaikan, maka ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan umat kini.